Isnin, 31 Mei 2010

Kenyataan Menteri Berkaitan isu penganjuran program syarahan Barry Wain di UM

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpandangan bahawa universiti mempunyai kuasa untuk memutus dan menganjurkan program-program dalam kampus atas budi bicara Naib Canselor. Seseorang Naib Canselor sebenarnya boleh menilai kewajaran sesuatu program itu dianjurkan. Begitu juga dalam hal penganjuran program berbentuk syarahan di mana universiti tidak perlu merujuk kepada kementerian. Berkaitan isu penganjuran program syarahan Barry Wain, penulis buku Malaysian Maverick in Turbulent Times, kementerian beranggapan bahawa universiti mempunyai kebijaksanaan dan pertimbangan yang wajar untuk membenarkan program tersebut diadakan di universiti. Sekiranya benar syarahan tersebut dilaksanakan mempunyai motif dan tujuan tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin terutamanya seorang negarawan yang mempunyai banyak jasa kepada pembangunan negara, pihak kementerian melihat ia adalah satu tindakan yang tidak wajar dan bertentangan dengan budaya, amalan dan norma akademik yang berasaskan keilmuan dan kebenaran. Memandangkan aktiviti keilmuan termasuk syarahan dan forum ini akan sentiasa berlaku (dianjurkan) di universiti, pihak universiti hendaklah menyediakan garis panduan dan tatacara yang jelas supaya program-program berbentuk akademik yang hendak dianjurkan tidak lari daripada matlamat asalnya apatah lagi menjadikannya platform untuk agenda bagi individu-individu tertentu. Hal ini penting supaya kebebasan akademik (academic freedom) yang dimiliki oleh universiti tidak disalah gunakan bagi mereka yang berkepentingan. Dan pihak universiti juga tidak boleh di persalahkan seratus peratus kerana buku itu juga tidak di haramkan pengedaran dan penjualannya di Malaysia, sebagai Universiti tentunya buku berkenaan pemimpin ulung ini akan di buat perbincangan ilmiah. Soal bagaiman cara mereka ketengahkan isu-isu dan isi-isi di dalam buku dan cara penerimaan pemikiran mereka itu tidak lah dapat pihak universiti untuk menetapkan atau membataskannya. Dalam isu berkaitan juga, pihak kementerian telah mengarahkan pihak Universiti Malaya (UM) menyediakan laporan terperinci mengenai penganjuran syarahan berkenaan.

Tiada ulasan: