Khamis, 29 Mac 2012

PERINGATAN UMARA'

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan golongan ulama supaya tidak menyampaikan ajaran sesat dan berbaur politik kerana tindakan itu akan mengelirukan masyarakat, malah meruntuhkan perpaduan agama, bangsa dan negara.
 
"Namun suka saya ingatkan di sini supaya jangan pula ada ulama yang menyampaikan ajaran sesat dan yang bertentangan dengan akidah Islam. Ada juga ulama yang cenderung kepada bidang politik sehingga ceramah yang disampaikan menjadi medan untuk mengata, memfitnah dan mencaci orang lain."Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor menghalang mana-mana pihak daripada mengajar agama Islam tanpa tauliah bagi mengelak penyampaian ajaran sesat dan berbaur politik yang boleh memecahbelahkan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Darul Ta'zim Ke-2 di UTHM di sini, hari ini.

Titah baginda lagi, selain memberikan bimbingan dan ilmu agama, para ulama dan ilmuan juga sewajarnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam membudayakan Islam sebagai gaya hidup seharian. Sultan Ibrahim menegaskan, gaya hidup Islam bukan terletak pada imej luaran sahaja, tetapi yang lebih penting adalah perlakuan dan sifat kerohaniannya.

"Islam itu bukan dinilai pada tinggi serbannya, panjang janggutnya, labuh tudung atau jubahnya tetapi lebih penting adalah lemah lembut tutur katanya; sopan santun perilakunya, luas ilmu pengetahuannya, kuat kesabarannya, suci hatinya, bersih tubuh dan pakaiannya; mudah didampingi dan menjadi contoh serta ikutan masyarakat di sekelilingnya," titah baginda.
 
"Dalam situasi masyarakat pada hari ini, tugas membangunkan agama Islam kian mencabar apabila fahaman liberalisme, perbezaan mazhab, ekstremisme politik dan gejala masyarakat kini dengan sendirinya membuatkan para pemimpin serta ulama terpanggil untuk menghadapi atau menanganinya.

Sumber : Utusan Malaysia. 28.3.2012 (Dalam Negeri)

Tiada ulasan: