Khamis, 8 Mac 2012

PENJAWAT AWAM NAIK GAJI 13%, KAPITALIS MULA SOROK BARANG

Ramai yang kelihatan tersenyum riang di sekitar Putrajaya, berikutan pengumuman pembatalan SBPA.  Dan senyuman itu semakin lebar, hingga ke pipi apabila Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji mengikut gred tanggagaji masing-masing.

Tentunya ini adalah berita baik, di saat rakyat dihimpit kos hidup yang semakin meningkat.  Dan kenaikan 13% untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana memberi impak yang besar, berikutan jumlah kenaikan yang agak besar berbanding amalan sebelumnya.

Sudah menjadi kelaziman, akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan berikutan perkhabaran gembira ini.  Kenaikan harga barangan apabila pengumuman kenaikan gaji dibuat adalah hampir pasti.  Itulah trend semenjak 10 tahun yang lalu.

Pembekal, pemborong dan peniaga, terutamanya mereka yang mempunyai monopoli dalam bidang ini akan menggunakan segala alasan bagi meraih keuntungan secara mudah.  Alasannya, kenaikan 13% tidak akan menjejaskan pendapatan mereka.  Kenaikan yang agak tinggi itu pastinya memberi kuasa membeli (buying power) kepada rakyat; pengguna.

Fahamilah usaha kerajaan untuk menghalang kenaikan harga barang bukanlah mudah.  Penetapan harga barangan seringkali menemui kegagalan, sementara penguatkuasaan bagi memantau peniaga yang tidak mengikut garis panduan harga barangan juga gagal, berikutan kekuragan anggota penguatkuasa.
Hasil dari pengalaman itulah, Perdana Menteri mengilhamkan Kedai Rakyat 1 Malaysia yang cukup dicemburui oleh pembangkang, walhal ianya untuk kebaikan rakyat.  Bukan itu sahaja, golongan monopoli juga terasa ancaman dari KR1M gara-gara harga barangan yang sangat berpatutan.

 Persoalannya, KR1M belum lagi dibangunkan secara meluas untuk dinikmati oleh rakyat.
Dan kenaikan harga barangan ini pastinya akan meninggalkan kesan kepada mereka yang bukan penjawat awam, seperti petani, nelayan, dan golongan kais pagi makan pagi.  Siapa pula yang akan menjaga keperluan golongan yang sememangnya layak diberi perhatian ini?

Bukanlah tujuan penulis untuk mempertikaikan apa yang Perdana Menteri telah berikan kepada warga penjawat awam, namun wujud kerisauan kerana sikap mengambil kesempatan terutamanya peniaga-peniaga di Malaysia.
KR1M adalah penyelesaian terbaik.  Ianya perlu disegerakan ke seluruh pelusuk negara.
Dan kerajaan, berkuatkuasa serta merta, perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan.Dan yang paling penting, kenaikan gaji penjawat awam itu jangan sampai digunakan oleh sesetengah pihak yang menggunakan peluang tersebut bagi merangka strategi untuk menaikkan kemarahan rakyat melalui kenaikan harga barang.

Sumber : Selangor Daily.com

Tiada ulasan: