Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
mengingatkan golongan ulama supaya tidak menyampaikan ajaran sesat dan
berbaur politik kerana tindakan itu akan mengelirukan masyarakat, malah
meruntuhkan perpaduan agama, bangsa dan negara.
"Namun suka saya ingatkan di sini supaya jangan pula ada ulama yang
menyampaikan ajaran sesat dan yang bertentangan dengan akidah Islam. Ada
juga ulama yang cenderung kepada bidang politik sehingga ceramah yang
disampaikan menjadi medan untuk mengata, memfitnah dan mencaci orang
lain."Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor menghalang mana-mana pihak
daripada mengajar agama Islam tanpa tauliah bagi mengelak penyampaian
ajaran sesat dan berbaur politik yang boleh memecahbelahkan rakyat,"
titah baginda ketika merasmikan Majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Darul
Ta'zim Ke-2 di UTHM di sini, hari ini.
Titah baginda lagi, selain memberikan bimbingan dan ilmu agama, para
ulama dan ilmuan juga sewajarnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam
membudayakan Islam sebagai gaya hidup seharian. Sultan Ibrahim menegaskan, gaya hidup Islam bukan terletak pada imej
luaran sahaja, tetapi yang lebih penting adalah perlakuan dan sifat
kerohaniannya.
"Islam itu bukan dinilai pada tinggi serbannya, panjang janggutnya,
labuh tudung atau jubahnya tetapi lebih penting adalah lemah lembut
tutur katanya; sopan santun perilakunya, luas ilmu pengetahuannya, kuat
kesabarannya, suci hatinya, bersih tubuh dan pakaiannya; mudah
didampingi dan menjadi contoh serta ikutan masyarakat di sekelilingnya,"
titah baginda.
"Dalam situasi masyarakat pada hari ini, tugas membangunkan agama
Islam kian mencabar apabila fahaman liberalisme, perbezaan mazhab,
ekstremisme politik dan gejala masyarakat kini dengan sendirinya
membuatkan para pemimpin serta ulama terpanggil untuk menghadapi atau
menanganinya.
Sumber : Utusan Malaysia. 28.3.2012 (Dalam Negeri)