Rabu, 6 Oktober 2010

CHACA MERBA PKR KERANA KRONISME DAN NEPOTISME, CINA DAN INDIA TERTIPU

Salam.
Posting kali ini MPG ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang satu artikel yang di siarkan dalam Utusan Malaysia hari ini dalam ruangan Rencana yang di tulis oleh ABDUL RAZAK IDRIS dari Banting Selangor.

MPG tertarik dengan fakta yang di keluarkan dengan gaya penulisan yang bersahaja yang mampu membuat  pembaca berakal menggunakan akal warasnya untuk berfikir, menilai dan membuat keputusan tepat demi generasi bangsa dan Negara akan datang. Selamat Membaca

Kerapuhan peringkat cabang PKR sudah terserlah

PEMILIHAN cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengundang seribu dua persoalan, inikah parti yang boleh disandarkan segunung harapan untuk memerintah negara pada satu hari nanti. Senario pemilihan ketua cabang dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi mereka dihambat sebegitu banyak isu bak kata pepatah ibarat menegakkan benang yang basah. Calon dan penyandang yang bertanding masing-masing tuduh-menuduh, gertak-menggertak, ugutan saman-menyaman malahan tangan yang sepatutnya bersalam di musim rumah terbuka Aidilfitri ini digenggam menjadi penumbuk sulung.
Ada kepala yang berdarah, dan inilah kali pertama dalam sejarah calon bertanding peringkat cabang terpaksa mendapatkan rawatan di katil hospital. Pelik tapi benar. Jika ahli-ahli PKR terus-terusan menggunakan undang-undang rimba sebagai pegangan mereka sudah pasti majoriti rakyat negara ini tidak kira bangsa Melayu, Cina dan India akan menolak mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.
Kekuatan yang ada pada UMNO selain sebagai tulang belakang pemerintahan negara, dilihat sedia berubah dan diubah tanpa kekerasan. Seorang Perdana Menteri sedia berundur demi perpaduan dan kelangsungan umat Melayu, betapa fakta ini menunjukkan pemimpin kita perlu berjiwa besar dan melakukan yang terbaik demi parti bukan demi kepentingan tembolok sendiri.
Adakah pemimpin dalam PKR berani meletakkan jawatan setelah sokongan di peringkat cabang telah menolak mereka? Ada yang ditolak merupakan seorang exco negeri yang pernah menimbulkan kontroversi kerana tersiarnya gambar tidak senonohnya.
Jika pemimpin PKR itu berjiwa besar, sebaik-baiknya berundur sahaja kerana ahli-ahli di akar umbi telah menolak beliau.
Dalam mana-mana pemerintahan politik, sokongan akar umbi amat penting, kerana cabang dan ranting yang tidak disokong oleh akar yang kuat akan mudah tumbang. Hakikatnya jika ia tumbang akan menyusahkan orang yang berada di bawah pokok untuk berteduh iaitu rakyat.
Apabila melihat kepala seorang ahli PKR Sabak Bernam berbalut, hati saya merasa gusar. Jika di peringkat cabang begini hebat kekecohannya, bagaimana pula pemilihan peringkat pusat kelak? Mungkin pihak polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan ambulan boleh disediakan sebagai langkah berjaga-jaga.
Konflik pemilihan PKR dianggap hebat namun setakat ini ia dilihat tidak lebih daripada satu budaya yang berakar umbi dalam parti tersebut. Sebagaimana parti politik lain, ia tidak lari daripada mengalami masalah.
Sikap 'Napoleon kecil' mahupun Napoleon besar' turut wujud dalam parti ini. Sebagai parti yang diasaskan demi perjuangan menegakkan keadilan akibat satu kes melibatkan pemimpinnya, perjuangan parti dilihat masih berpaksikan sebab yang sama.
Sikap dolak-dalih pemimpin besar mereka dalam meneruskan pertuduhan liwatnya diibaratkan takut tidak bertempat, segan tetapi berpakaian. Jika keadilan dikatakan perlu ditegakkan dalam perjuangan parti beliau, mengapa pihak yang mengadu lebih menderita kerana haknya untuk mendapat keadilan sering dinafikan akibat sebab teknikal bukan sebab bukti-bukti kes pendakwaan.
Mampukah kita sebagai rakyat untuk berkata tidak kepada pemimpin dan parti yang mempromosikan kekerasan dalam intipati perjuangan mereka. Setiap rakyat berharap mempunyai pemimpin yang boleh kita berpaut bak dahan yang kuat di pohonan yang rimbun setiap saat demi kelangsungan hidup bernegara.
Hari ini kita telah didedahkan wajah kosmetik pemimpin yang dikatakan berjuang untuk rakyat, tetapi tergamak menggunakan kekerasan terhadap ahlinya sendiri. Jika sikap toleransi antara ahli tiada dalam diri, bagaimana pemimpin mereka dapat memberi keadilan kepada rakyat yang tidak bersifat partisan.
Kadang kala kita berasa hairan kerana pemimpin mereka sering menuduh kerajaan tidak melakukan suatu kerja dengan baik dan jika diamati tiada satu dasar yang dilihat enak didengar dan dilihat oleh mereka semuanya mengundang rasa jelik. Kepada rakyat yang rasional, perjuangan menggunakan undang-undang rimba jelas mencemburui kemajuan pendidikan dan teknologi siber dan e-pengetahuan yang dilestarikan oleh kerajaan kepada kita.
Belajarlah untuk mensyukuri nikmat yang ada dalam suasana aman dan harmoni, jangan letakkan diri kita memilih pemimpin yang sejak dari peringkat cabang sudah terserlah kerapuhannya. Jangan berpaut di cabang yang rapuh. Hari ini kita selesa berteduh di bawah rimbun pohon Barisan Nasional. Walau ada hujan lebat, kilat dan guruh sekali-sekala. Namun pohon bernama Malaysia ini masih gagah di bawah kepimpinan 1Malaysia.

Tiada ulasan: