Rabu, 14 April 2010

MENJAWAB ASIASOFT DAN APCO INTERNATIONAL

Dewan Rakyat: Tiada Penglibatan Perisik Israel Dalam Projek PDRM - Abu Seman KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri Selasa menafikan penglibatan dua anggota perisik Israel dalam projek "Police Reporting System" (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti yang didakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata siasatan dalaman yang dilakukan PDRM mendapati kesemua pekerja yang terlibat dalam pembangunan projek PRS terdiri daripada warga tempatan kecuali seorang warga India. "Projek PRS adalah berkaitan sistem menerima laporan polis melalui sistem komputer yang dibekalkan di balai-balai polis di seluruh Semenanjung Malaysia melalui tiga fasa mengikut zon dan sistem PRS bagi Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dalam fasa keempat," katanya. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 pada peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkenaan. Anwar, dalam perbahasan di Dewan Rakyat Selasa lepas, mendakwa beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui syarikat Asiasoft (M) Sdn Bhd yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM. Abu Seman berkata fasa pertama dan kedua projek itu dibuat oleh Sapura System Sdn Bhd (SSSB) dan fasa ketiga pula dibangunkan oleh Masterplan Consulting Sdn Bhd (MPC) yang telah melantik subkontraktor iaitu Asiasoft (M) Sdn Bhd bagi melaksanakan sebahagian aplikasi sistem PRS, di mana saham syarikat itu 70 peratus daripadanya dimiliki oleh rakyat Malaysia dan bakinya dimiliki Asiasoft (S) Pte Ltd. "Semua pekerja yang terlibat adalah terdiri daripada warga tempatan dan tidak ada sama sekali pekerja-pekerja dari Asiasoft (S) Pte. Ltd," katanya. Bagaimanapun selepas Ogos 2007, Abu Seman berkata 100 peratus saham milik Asiasoft (S) Pte Ltd telah diambil alih oleh Asiasoft Global Pte Ltd yang berdaftar di Singapura dan bukannya di Tel Aviv, Israel. Beliau berkata saham syarikat Asiasoft Global Pte Ltd dimiliki seorang rakyat Singapura iaitu Toh Kian Hong sebanyak 49 peratus, manakala bakinya dimiliki Top Image Systems Ltd (TIS) yang mana dua daripada anggota lembaga pengarahnya adalah rakyat Israel. "Kebimbangan kehadiran perisik Israel ini mula timbul bila ada peralihan saham itu, tetapi projek fasa tiga telah disiapkan pada Oktober 2006 iaitu sebelum penstrukturan semula pada Ogos 2007, jadi tidak ada kemungkinan terlibat perisik Israel dalam projek RPS. "Melalui siasatan dalaman PDRM juga, MPC telah memaklumkan bahawa mereka telah menamatkan perkhidmatan subkontraktornya iaitu Asiasoft (M) Sdn Bhd pada 31 Dis 2008," katanya. Beliau berkata dakwaan Anwar bahawa projek RMPnet iaitu projek sistem komunikasi radio dua hala yang dibangunkan oleh Motorola Technology Sdn Bhd (MTSB) dengan kerjasama MPC ada kaitan dengan Apco Worldwide, juga tidak benar. "RMPnet adalah projek menaik taraf sistem komunikasi analog konvensional PDRM kepada sistem komunikasi taktikal digital yang dapat menjamin keselamatan maklumat dan peningkatan keberkesanan PDRM. "MTSB melaksanakannya berdasarkan piawaian Apco P25 yang dibangunkan oleh 'Association of Public Safety Communications Officials' yang dikenali dengan nama ringkas Apco International. "Apco International tiada kaitan langsung dengan Apco Worldwide yang merupakan syarikat perunding perhubungan awam manakala RMPnet dan PRS merupakan dua projek berasingan dan tiada kaitan sama sekali," katanya. Abu Seman juga menafikan dakwaan kos projek RMPnet meningkat kepada RM999 juta kerana kos projek berkenaan kekal pada kos asal iaitu sebanyak RM980 juta. Persidangan dewan juga kemudiannya telah meluluskan kesemua rang undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa yang mula dibahaskan sejak minggu lepas.

Tiada ulasan: