Isnin, 4 Julai 2011

DAULAT TUANKU,DAULAT TUANKU,DAULAT TUANKU.

Rupa-rupanya tanah air ini mempunyai tuan, rupa-rupanya bumi bertuah Malaysia ini masih mempunyai ketuanan, rupa-rupanya negara Malaysia hak KETUANAN MELAYU.

Bacalah warkah seorang hamba kepada rajanya........

Surat kepada Yang di-Pertuan Agong

Menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur dengan penuh kemuliaan dan kesejahteraan

Ampun Tuanku,

Adalah patik dengan segala hormat takzimnya memohon ampun berdatang sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyatakan perasaan kebimbangan patik dan rakyat jelata sekaliannya dalam negara yang tercinta ini terhadap usaha pihak tertentu yang menamakan kelompok mereka Bersih, yang berhasrat untuk mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai 2011 yang mendatang nanti.

Sepertimana telah sedia maklum, usaha mereka telah mendapat perhatian dan reaksi serius daripada rakyat jelata atas kebimbangan bahawa perhimpunan haram ini hanya akan mencetuskan kekacauan dalam negara yang sedia aman ini apabila beribu aduan polis telah dibuat oleh pelbagai lapisan rakyat sehingga kini untuk menyatakan bantahan mereka terhadap pihak penganjur perhimpunan ini.

Malang sekali bantahan rakyat ini tidak dihiraukan oleh mereka, malah segala nasihat dan amaran daripada pihak berkuasa yang telah memanggil mereka langsung tidak dihormati.

Mereka dengan angkuhnya masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan ini, tanpa memikirkan kehendak rakyat jelata yang mahukan keamanan berkekalan, untuk menumpang teduh bagi meneruskan kehidupan yang sejahtera di bawah pemerintahan Kebawah Duli Tuanku yang selama ini aman sentosa di dalam negara yang tercinta ini.

Dengan adanya reaksi balas pihak lain seperti Pemuda UMNO dan Perkasa yang akan mencabar perhimpunan Bersih ini pada tarikh yang sama, sebagai rakyat yang cintakan keamanan, patik dan rakyat jelata yang lain boleh membayangkan betapa malapetaka yang dahsyat akan terjelma apabila ketiga-tiga kumpulan ini bertembung pada waktu yang sama.

Menambah kebimbangan ini, laporan terkini mendapati sudah mula ada ugutan berbahaya yang diterima oleh pihak tertentu yang melibatkan ancaman nyawa bahkan pengaruh kumpulan komunis yang menjadi musuh negara didapati turut sama mula meresapi dalam gerakan perhimpunan ini.

Kenyataan melampau daripada Ketua Angkatan Keadilan di Shah Alam baru-baru ini untuk menjatuhkan juga kerajaan sedia ada yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya secara demonstrasi jalanan juga membimbangkan rakyat jelata kerana tindakan tidak bertamadun seperti ini langsung tidak boleh diterima kerana ia menyalahi peruntukan perlembagaan sedia ada dan ia amat berbahaya dalam proses membina negara bangsa yang berdaulat.

Maka atas kebimbangan itu, patik merayu sesuatu tindakan segera perlu diambil untuk memastikan perhimpunan itu dapat disekat segera dari terus berlaku.


Justeru apalah kiranya patik dan rakyat jelata seluruhnya merafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar dapat menitahkan segera untuk mengisytiharkan larangan ke atas perhimpunan yang bakal mengugat kestabilan negara itu dan menegah pihak berkenaan daripada mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Perlembagaan negara kita.

Patik dan rakyat jelata sangat berharap apalah kiranya dapat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menitahkan mereka yang berkenaan untuk menghadap bersama untuk memberi peluang mereka menyerahkan memorandum secara bersemuka ke hadapan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada satu tarikh lebih awal dari tarikh perhimpunan itu hendak diadakan dan menitahkan secara rasmi agar mereka membatalkan perhimpunan itu demi keselamatan negara dan rakyat jelata yang tidak berdosa.

Patik yakin sebagai rakyat yang setia kepada raja dan negaranya, mereka tidak akan mengingkari titah perintah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas kedudukan Tuanku sebagai Payung Mahkota Negara dan lambang kepada perpaduan rakyat jelata seluruhnya.

Sekiranya mereka ingkar juga akan titah perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku itu, maka layaklah mereka menerima hukuman yang setimpal sebagai rakyat yang mendurhaka kepada raja dan negaranya.
Atas sebab rasa kebimbangan yang tidak terhingga bahawa perhimpunan ini boleh membawa malapetaka kepada keamanan negara yang tercinta ini, maka patik dan seluruh rakyat yang mencintai keamanan dan kemakmuran yang berkekalan dengan hormat ta'azimnya memohon perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar dapat memberi 'Titah Larangan' untuk membatalkan perhimpunan itu.


Ampun Tuanku,

Adalah patik dan rakyat jelata dengan segala hormat takazimnya berdatang sembah memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Tiada ulasan: