Selasa, 13 September 2011

EPISOD PEMBOHONGAN PAS

Oleh Datuk Dr. Masitah Ibrahim.

1. Bagi menutup malu Pas kerana terhimpit dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja 3 Ogos lalu, Datuk Mustafa Ali cuba mengalih pandangan dan menuduh UMNO sebagai dalang di sebalik isu itu. Bagi UMNO Selangor, ini satu pembohongan, dan sudahpun memulakan proses menyaman Setiausaha Agung Pas itu.

2. Pemimpin Pas, Dr. Che Rosli Che Mat menyelar Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kerana banyak mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai projek pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng. Che Rosli, seorang pakar sains nuklear, mendapati Fuziah menggunakan fakta palsu.

3. Che Rosli juga mengkritik Harakah kerana menyiarkan laporan tidak benar. Tapi Penerangan Pas Pusat dan kalangan pemimpin Pas tidak senang dengan tindakan Ahli Parlimen Pas Hulu Langat ini. Pas lebih senang rakyat terus dibohongi dengan maklumat palsu daripada diberikan fakta sebenar.

4. Terbaru, Jamilah Abu Bakar, yang melihat ibu bapa dan adiknya ditembak komunis 61 tahun lalu, memberitahu bahawa Naib Yang Dipertua Pas Pulai, Zaaba Ibrahim, telah memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kerajaan semasa melawat ke rumahnya Ahad lalu bagi pihak Mat Sabu. Jirannya, Mokhtar Jalok, 72, berkata pemimpin Pas itu berbohong kerana dia kenal Zaaba bukan kakitangan awam tapi peniaga besi buruk.

5. Jamilah dan keluarganya tidak mahu berjumpa Mat Sabu kerana sakit hati dengan pembohongan Timbalan Presiden Pas itu mengenai peranan dan jasa pahlawan Melayu yang menentang komunis. Mat Sabu berkeras mengatakan komunis adalah wira, seolah-olah polis dan tentera adalah tali barut British.

6. Sebelum ini, Mat Sabu terbabit dalam kontroversi pasca-Bersih. Dia mendakwa cedera dilanggar kereta polis. Rakaman polis yang ditonton jutaan penduduk Malaysia menerusi TV menunjukkan beliau tidak dilanggar kereta polis, malah jatuh longkang kerana motornya terbabas.


7. Pemimpin Pas pernah menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan sesiapa saja, waima syaitan, untuk menjatuhkan UMNO. Belum sempat berpakat dengan syaitan, baru dengan PKR dan DAP pun, Pas sudah longlai dan tidak konsisten dalam perjuangannya. Kerana mahu ambil hati kawan, Pas sanggup gadai prinsip perjuangan. Kerana ingin mengecap sedikit kuasa, Pas tidak lagi mempertahankan konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak, judi dan rumah urut di Selangor.
 
8.  Janji palsu terbesarnya ialah hudud. Pas menentang UMNO di Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999 kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam. Bila dapat memerintah, Pas memberi pelbagai alasan kenapa tidak melaksanakan hudud. Antaranya, sekatan Kerajaan Persekutuan, mahu memberi masa kepada rakyat terutama bukan Islam memahami konsepnya dan tidak cukup pelaksana seperti peguam dan hakim.

9. Sebagai Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi pernah berkata hudud tidak penting untuk dilaksanakan kerana ia cuma 0.00001 peratus daripada syariah Islam. Di muktamar Pas ke-57 lalu, dia baru sedar negara Islam tidak disebut dalam al-Quran. Dalam keadaan sekarang, kerana bersekongkol dengan PKR dan DAP yang sememangnya menolak undang-undang syariah, maka janji Pas ini tidak akan tertunai sampai bila-bila.

10. Pemimpin Pas kutuk bangsa sendiri, malu jadi Melayu kononnya. Pas anggap orang Melayu yang tidak menyokong calonnya sebagai jahiliah.

11. Sejak 1950an lagi orang Melayu dikafirkan, dan masyarakat Melayu berpecah-belah kerana fatwa yang songsang.

12. Mat Sabu pula menghina pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak serta anggota keselamatan, yang sebahagian besarnya Melayu, menentang komunis untuk mencapai kemerdekaan.

13. Pas jelas adalah sebuah parti oportunis, dan hanya gilakan kuasa. Dulu Pas mahu lelong Putrajaya, sekarang mahu menguasai Putrajaya pula.

14. Pemimpin Pas apabila bercakap, sering merujuk diri dan kerja mereka dengan apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Kelantan pula disebut sebagai Serambi Mekah, dan Kota Bharu pula sebagai Kota Islam. Ini adalah strategi melengkapkan gambaran Islamik kepada pemimpin Pas dan negeri yang mereka perintah.
Tapi di manakah Islamiknya pemimpin Pas jika suka berbohong dan cakap berbelit-belit? Apakah merit parti yang menggunakan nama 'Islam' tapi memberi janji palsu, memberi gelaran buruk dan hina Muslimin lain?

UMNO tidak perlu berbuat apa sebenarnya. Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Pas seperti Mat Sabu dan parti pembangkang lain bagaikan menggali kubur sendiri atas percakapan dan tindakan yang menyakiti hati rakyat. Episod terbaru ini pasti menyebabkan Pas kehilangan banyak sokongan dan undi orang Melayu.


Ingatlah, Nabi Muhammad menggunakan agama untuk mengislamkan orang-orang kafir. Tapi Nik Aziz dan Abdul Hadi menggunakan agama untuk mengkafirkan orang yang sudah Islam.

Tiada ulasan: