Isnin, 6 September 2010

AL-FATIHAH, SETAUSAHA POLITIK MB JOHOR MENINGGAL DUNIA

JOHOR BAHRU 6 Sept — Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, Dr. Gunawan Mahmood meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri di pejabatnya di bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar kira-kira jam 3 petang hari ini. Dr. Gunawan, 51, yang menghidap diabetis, mengadu tidak sihat di sebelah pagi dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Beliau kemudiannya balik ke pejabatnya untuk berehat namun kemudiannya ditemui dalam keadaan terkulai dan sudah tidak bernyawa oleh beberapa kakitangan pejabat Menteri Besar. Anak saudara allahyarham, Wahyu Budiman Rendra berkata beliau dimaklumkan mengenai kematian bapa saudaranya itu oleh isteri allahyarham.

Jenazah allahyarham dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya, katanya kepada Bernama. Katanya jenazah allahyarham akan dibawa ke rumah bapanya di Felda Ulu Tebrau dan dijangka dikebumikan pagi esok di tanah perkuburan Felda Ulu Tebrau.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Norhayati Maarof dan tiga anak perempuan dan seorang lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun.

Sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Johor pada tahun 2008, Dr. Gunawan ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Penerangan (JASA) Johor. Allahyarham juga Penasihat Persatuan Penulis Negeri Johor. — Bernama

Tiada ulasan: