Khamis, 13 Januari 2011

CIRI -CIRI CALON YANG BERHORMAT

1. Pemimpin yang hendak dipilih biarlah yang pandai berjanji perkara yang logik dan diterima akal yang waras agar tidak dikatakan pemimpin lidah bercabang di kemudian hari. Pemimpin yang waras adalah pemimpin yang tahu membezakan antara kepentingan diri dan kepentingan rakyat yang diwakili. Jika bercakap, jangan manis di mulut sehingga sanggup menyeleweng ajaran dan agama orang lain serta menggertak Perlembagaan Negara yang menjadi asas kewujudan Malaysia sebagai negara Islam paling membangun di dunia.

2.Wakil rakyat yang sesuai dipilih bukan hanya pandai berbicara isu mikro (setempat), malah isu makro seperti ekonomi dan Perlembagaan Negara juga perlu cair di mulut. Pemimpin yang dipilih sebaiknya biarlah pemimpin setempat yang tahu tali air mana ada ikan puyu dan di mana tempat napuh melintas. Pemimpin payung terjun yang tidak direstui UMNO Bahagian perlu dihindari daripada menjadi calon. Jangan pula memilih pemimpin yang menjadi burung kakak tua dan pandai bersalam kemas tetapi selepas pilihan raya, bayangan songkok dan gincu merah tinggal jadi kenangan semata-mata. Kelulusan tinggi sampai ke langit tidak perlu kerana ia hanya akan mewujudkan jurang antara wakil rakyat. Ini kerana rakyat hanya mahu tahu apa yang mereka boleh dapat dari Yang Berhormat dan bukan berapa Yang Berhormat hendak dari projek kelas F mereka.
 
3.Pemimpin yang berhak dipilih oleh pucuk pimpinan, pilihlah calon yang tahu mengenang budi orang yang membantu parti selama ini terutama 'gurkha-gurkha' parti yang bersengkang mata dan sanggup bertegang urat mempertahankan pemimpin mereka setiap kali kempen pilihan raya. Begitu juga dengan pengundi, mereka perlu diberi sumbangan dengan menunaikan janji pilihan raya yang dibuat, bukannya memberi pelbagai alasan untuk tidak mengotakan manifesto. BN perlu bersifat realistik dalam menarik sokongan rakyat dan jangan berjanji kepada rakyat berlebih-lebihan, kelak ia akan menjadi obesiti manifesto yang menyebabkan penyakit munafik dalam diri sepanjang menjadi Yang Berhormat, apabila berjanji tidak ditepati dan menyembunyikan fakta demi meraih undi.

4.Ciri keempat dan paling penting, pilihlah pemimpin yang berintergriti dan bersih dari skandal mikro dan makro kerana pemimpin sebegini akan menjadi liabiliti kepada parti apabila beliau dicalonkan semula. Masih ramai pemimpin muda yang boleh diberi peluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya. Semangat Harimau Malaya perlu diterapkan dalam kerajaan kita.
Jangan takut memberi peluang kepada orang muda kerana karisma Perdana Menteri kita bukan dicipta sehari semalam. Beliau menjadi pemimpin besar dari usia muda sehingga kini.
Suara orang muda yang optimis perlu diberi ruang dan peluang kerana pihak parti pembangkang menggunakan formula ini dengan jayanya sehingga calon yang baru setahun jagung dalam politik mampu menewaskan pemimpin politik yang begitu berpengalaman.

5.Ciri ke lima dan paling penting, pilihlah calon yang mesra dengan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Pemimpin perlu menghormati raja mereka dengan ikhlas, kerana tanpa institusi raja maka perjuangan untuk agama dan bangsa hanyalah perjuangan sia-sia. Perjuangan untuk mendaulatkan institusi raja perlu ada agenda yang tersurat dan bukannya tersirat.

Namun bersandarkan punca berlakunya pilihan raya kecil sebanyak 14 kali yang berlangsung sejak berakhirnya PRU-12, mungkin ciri wakil rakyat yang mempunyai kesihatan yang baik perlu dipertimbangkan. Itulah cabaran paling utama.

Sumber: ABDUL RAZAK IDRIS

Tiada ulasan: