Salam, pada posting kali ini MPG berkongsi baca dengan pengunjung blog ini satu tulisan Nurani Sdr.Zulkefli Hamzah.
Menang secupak, rugi segantang
Adalah tidak sihat kepada sebuah kerajaan apabila hanya mahu mendengar pujian semata-mata. Tentu sekali sama tidak sihatnya apabila yang tidak memerintah hanya tahu memperlekeh hasil positif kerajaan. Begitu juga dalam hal mengkritik, ia adalah sihat sama seperti reaksi terhadap kritikan itu. Tetapi yang selalu berlaku ialah yang dikritik dan mengkritik terbelenggu dengan perilaku untuk memusnahkan. Mereka sengaja menempatkan diri sebagai seteru walaupun mengaku mewakili suara rakyat.Inilah yang sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Tidak pernah dalam sejarah 53 tahun Malaysia - sejak Mac 2008 - kita terpaksa makan, minum dan tidur dengan gembar-gembur politik. Semua hal dan peristiwa mahu disalut dengan kepentingan politik.
Lihatlah di Dewan Rakyat, yang sepatutnya menjadi tempat mulia menyuarakan hati nurani rakyat, didominasi dengan pertengkaran penuh keegoan dan aksi ala demonstrasi. Suara pemeriksa dan pengimbang jarang-jarang kedengaran. Mereka menggunakan tipu helah bersuara rakyat tetapi yang dijaja sebenarnya adalah kepentingan peribadi, kelompok dan nafsu memburu kekuasaan.
Mereka bersuara tidak diberi keadilan tetapi realitinya merekalah yang meranapkan keadilan. Mungkinkah adil bagi mereka jika boleh sesuka hati menyalahgunakan Dewan yang mulia? Mungkinkah adil bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Azmin Ali (PKR - Gombak); R Sivarasa (PKR - Subang) dan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) jika boleh berbuat apa sahaja perbuatan yang melanggar peraturan. Bagaimana pula wakil rakyat di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang juga telah dikenakan tindakan gantung daripada menghadiri sidang Dewan? Apakah itu bukan keadilan atau ia menggambarkan demokrasi telah runtuh?
Lihatlah di Dewan Undangan Negeri Perak, kerajaan yang disahkan oleh mahkamah dan Perlembagaan serta diperkenan oleh Sultan, terus-menerus dikata tidak sah. Mereka tetap bangga menggunakan perkataan perampas, sedangkan pertukaran kerajaan berlaku kerana sikap mereka sendiri. Lihatlah politikus yang melenting dicap rasis, sedangkan mereka mudah menuduh orang lain sedemikian. Mereka berkata memperjuangkan kebebasan dan ketelusan tetapi media disekat daripada melaporkan perkara sebenar. Malah peruntukan negeri digunakan untuk menggerakkan propaganda parti, bukannya menyebar maklumat mengenai program kerajaan negeri.
Mereka marah dan tangkas mengumpulkan rakyat kononnya bagi menjelaskan fitnah dan konspirasi tuduhan liwat, sedangkan mahkamah telah memutuskan ia pernah berlaku tetapi tidak disabitkan kesalahan kerana masalah teknikal. Kumpulan ini juga marah digelar komunis tetapi sesenang hati mengata pemimpin lawan bukan rakyat Malaysia sebenar.
Dan terbaru, mereka melancarkan program 100 hari yang kononnya akan dilaksanakan jika PKR, Pas dan DAP berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Ia adalah janji terbaru pakatan pembangkang untuk melaksanakan reformasi menyeluruh pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan. Rupa-rupanya dalam sinikal memperlekeh Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan lain yang kini sedang rancak digerakkan, mereka cuba 'menculik' program negara dan rakyat itu. Mereka menjanjikan 'dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program itu."
Cuba kita imbas antara program 100 hari itu yang tujuannya mengajak rakyat Malaysia, pengundi yang berdaftar supaya 'ubah sekarang, selamatkan Malaysia':
* Reformasi institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
* Mansuhkan ISA, mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.
* Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
* Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap guru sebagai penghargaan.
* Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan dan menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
* Membatalkan Felda Plantations bagi membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA dan menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus.
* Menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Sabah.
Sebahagian besar daripada reformasi yang diimpikan untuk dilaksanakan pada hari pakatan pembangkang menawan Putrajaya itu, kini sudahpun digerakkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka pun sedar perkara itu kerana sama ada di podium ceramah, Dewan dan media, merekalah antara pihak yang berterusan memperlekeh program mahupun projek transformasi berkenaan. Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak telah berubah. Perubahan yang mengutamakan kehendak rakyat dan memperkasakan sistem penyampaian kerajaan sedang dilaksanakan, bukan lagi sekadar impian di atas kertas. Cuma, tentu sekali cara dan pendekatannya berbeza dengan reformasi pakatan pembangkang itu.
Lihatlah semasa BN mengakui era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir, pakatan pembangkang pula berfikir sebaliknya. Projek-projek dalam ETP umpamanya yang digarap hasil gabungan minda pelbagai pihak, telah pun disebarkan kepada umum melalui hari terbuka. Orang awam termasuk pembangkang boleh mengkritik, malah memperbetulkan jika masih ada kepincangan. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kritkan membina. Jelaslah program impian 100 hari yang mereka uar-uarkan pada konvensyen pekatan pembangkang Ahad lalu, bukanlah perkara baru. Begitulah cekapnya politikus 'menculik' program-program yang kini sedang dilaksanakan dan kemudian mengaku pula ia adalah perjuangan mereka.
Mungkin benar seperti nasihat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa berucap pada konvensyen pakatan pembangkang itu bahawa "janganlah kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan..." Masih banyak kelemahan di negeri-negeri yang mereka tadbir - Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Perbaiki yang itu dulu dan tunjukkan prestasi. Perhalusilah ucapan Abdul Hadi bahawa 'pakatan pembangkang perlu bermuhasabah diri dengan pencapaian selama ini ketika memerintah beberapa negeri, selain menilai kelemahan dasar dan pelaksanaan masing-masing.
Tanpa diragui, pemimpin adalah pemain utama untuk membangun mahupun menghancurkan agama, bangsa dan negara. Baik pemimpin, baiklah negara. Jahat pemimpjn, ranaplah bangsa. Fikirkanlah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan