Memang
menghapuskan PTPTN adalah satu kerja mudah dan paling senang. Mana-mana
kerajaan dan parti politik pun boleh melaksanakannya.Malahan Barisan Nasional sendiri pun
dengan sekelip mata boleh menghapuskan PTPTN. Tapi apakah natijah dan
kesannya kepada keadaan ekonomi dan pendidikan rakyat selepas pemansuhan
PTPTN ini?
Sehingga
kini hampir RM 40 bilion dikeluarkan oleh PTPTN untuk memberi pinjaman
kepada hampir dua pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
Tanpa PTPTN dianggar puluhan ribu pelajar yang tidak layak mendapat
biasiswa dan pinjaman lain tidak dapat meneruskan cita-cita mereka
melanjutkan pelajaran.
Ini
juga bermakna puluhan Universiti dan Kolej Swasta akan terpaksa ditutup
kerana kekurangan pelajar. Rentetan itu juga ribuan orang dari
pensyarah, pentadbir dan pekerja am di IPTS akan kehilangan kerja
mereka. Inilah kesan secara langsung jika PTPTN hendak ditutup.
Dalam
jangkamasa panjang keadaan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia akan
kembali ke belakang. Jumlah pemegang ijazah, diploma dan sijil
kemahiran akan menurun kerana kerajaan tidak mungkin mampu menampung
semua pelajar melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi. Maka kita akan
kembali ke zaman 60-an, 70-an dan 80-an di mana kebanyakan belia dan
remaja menjadi pekerja kilang.
Hak
mendapat pelajaran tinggi juga akan kembali menjadi hak eksklusif
mereka yang benar-benar bijak dan lulus dengan cemerlang dalam
peperiksaan sahaja. Kumpulan ini akan mendapat biasiswa dan pinjaman
mudah kerajaan. Selebihnya, pengajian di peringkat kemahiran, diploma
dan ijazah tinggi akan menjadi hak eksklusif kumpulan elit dan menengah
yang mampu menyediakan pembiayaan pendidikan sendiri melalui tabungan
atau pinjaman bank.
Memang
benar terdapat beban-beban tertentu dalam pinjaman PTPTN, namun apakah
ada perkara mudah dalam dunia ini? Kita percaya dari semasa ke semasa
PTPTN perlukan penambahbaikan. Namun cadangan menghapuskan tabung yang
telah memberi khidmat besar kepada jutaan belia di negara ini untuk
melanjutkan pelajaran adalah tidak masuk akal.
Jika
kita boleh meminjam puluhan ribu untuk membeli kereta, mengubahsuai
rumah; memperuntukan gaji untuk bayaran Astro, Unifi dan makan di
Restoran makanan segera, apakah kita tidak boleh memperuntukkan sedikit
untuk membayar pinjaman PTPTN yang telah membuka ruang kepada kita
mendapat pelajaran dan kemudiannya peluang pekerjaan yang lebih baik?
Memang
ramai yang marah dengan PTPTN kerana menyebabkan mereka berhutang
puluhan ribu ringgit apabila tamat pelajar. Tapi jika ditanya mereka
yang tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan,
bila-bila masa sahaja mereka bersedia berbuat apa sahaja untuk
mendapatkan pinjaman PTPTN.
Tanya
juga kepada mereka yang telah bekerja dan melanjutkan pelajaran ke
peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Betapa bersyukurnya mereka mempunyai
PTPTN yang memberi pinjaman mudah dan murah kepada mereka. Jika tidak
mereka terpaksa mengumpul wang bertahun-tahun sebelum mampu melanjutkan
pelajaran ke peringkat tinggi. Sebahagian pula terpaksa bergantung
kepada pinjaman bank untuk melanjutkan pelajaran. Itu pun belum tentu
diluluskan. Jika diluluskan pun jumlah kadar faedahnya jauh lebih tinggi
daripada yang ditawarkan oleh PTPTN.
Justeru,
kepada mereka yang telah melepasi ranjau pengajian tinggi dengan
pinjaman PTPTN, janganlah membakarnya hingga menjejaskan harapan dan
masa depan adik-adik kita. Jangan kerana kita mahu lari daripada
tanggungjawab membayar pinjaman maka adik-adik kita akan menjadi mangsa
nanti.
Janganlah bakar institusi yang pernah memberi peluang kepada kita mengecapi pengajian tinggi dan pekerjaan yang lebih baik.
Jika
tiada PTPTN, siapa yang akan lebih banyak mendapat peluang belajar di
IPTS dan Kolej lain dengan kewangan sendiri? Ada otak lu fikirlah
sendiri!
Artiel ikhsan dari : Kumpulan Menyokong UMNO(Mykmu).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan