Khamis, 8 Disember 2011

MENGALAH MELAYU BUKAN BERERTI LEMAH

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Kaum lain tidak seharusnya menganggap sifat mengalah orang Melayu sebagai satu kelemahan sehingga boleh mengambil kesempatan terhadap mereka dengan sewenang-wenangnya.
Tokoh budaya dan bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah A. Karim berkata, orang Melayu sudah lama bersabar dan mengalah walaupun masih ada pihak yang cuba mempertikaikan hak serta keistimewaan mereka."Orang Melayu sudah mengalah sejak dulu lagi walaupun hak mereka dipersoalkan. Namun, ada sesetengah pihak yang menganggap sifat mengalah itu sebagai satu aspek kelemahan dan cuba mengambil kesempatan ke atasnya.

"Orang Melayu tidak pernah mempertikaikan hak kaum lain. Kita beri mereka hak kewarganegaraan, kita hormati hak mereka. Jadi, tidak seharusnya mereka mempertikaikan hak orang Melayu yang sememangnya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada semua pihak agar tidak lagi mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mempertikaikan hak dan keistimewaan kaum itu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Canselor Universiti Kolej Sedaya International (UCSI), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, orang Melayu perlu lebih prihatin terhadap masalah tersebut kerana bimbang Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan hilang hak serta kepentingannya.

"Orang Melayu perlu sedar dan bersama menjaga kepentingan Melayu serta bumiputera agar tidak ada pihak yang sanggup mempolitikkan isu tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, isu berat sebelah terhadap sesebuah kaum tidak seharusnya timbul kerana setiap usaha dan langkah yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan. "Gagasan 1Malaysia merupakan langkah bijak kerajaan untuk memberi hak dan keistimewaan yang sama rata kepada semua kaum," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan: