MERDEKA!!!!!!
MERDEKA !!!!!!
 MERDEKA !!!!!
Sempena menyambut 31hb.Ogos 2010, Hari ulangtahun kemerdekaan ke 53 Negara, aku post kan di sini pesanan dan peringatan dari titah Raja Muda Perak Raja Dr. Nazrin shah untuk bacaan dan pemahaman kalian pembaca semua. Moga titah baginda itu di jadikan tauladan kepada kita semua umat Melayu Islam.
 Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, pemimpin Islam yang  memilih untuk bertelagah dan bersaing mencari pengaruh, sehingga  tergamak melakukan perkara-perkara ekstrem yang mencemar agama dan  maruah ummah, sebagai golongan yang telah menyimpang dari prinsip asas  Islam.
Ini kerana prinsip asas Islam sentiasa menyeru kepada perpaduan  ummah, titah baginda sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar  Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim) peringkat negeri  serta sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak  (MAIPK) di sini hari ini.
Menurut baginda, penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian  umat Islam di dunia terutama contoh-contoh ketara di Palestin,  Afghanistan dan Iraq, bermula dari pemesongan yang berlaku di kalangan  pemimpin hingga mereka sendiri membuka laluan yang membolehkan bukan  Islam melakukan pencerobohan dan kemusnahan.
"Pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil.  Ia mungkin bermula  dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah  mimbar. 
"Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu  tazkirah atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil dan jika  dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih  berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk  bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang  salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh  dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam,” titah  baginda.
"Umat Islam di negara ini kini berada dalam suasana kritikal,  bagaikan tenggelam punca, bagaikan bersedia berpaut kepada apa sahaja  yang dapat dicapai untuk terus timbul dalam arus yang mungkin membawa  mereka menuju kepada penghujung yang amat membimbangkan,”
Umat Islam wajib mengambil pengajaran sebelum nasi menjadi bubur, tegas baginda.
"Ingatlah! Sedarilah! Insaflah! ketika umat Islam jatuh dan menjadi  lemah, janganlah diharap ada pihak yang akan bersimpati untuk membela  nasib mereka.
“Masa hadapan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan umat  Islam.  Selagi umat Islam kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada  pihak yang boleh meruntuh atau menjatuhkannya. 
Kejatuhan umat akan berlaku apabila umat memilih untuk tidak bersatu  malah saban hari terus menghakiskan kekuatan di antara satu sama lain,”  titah baginda. – Bernama
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan