Sabtu, 24 Disember 2011

Konsep Wasatiyah sebagai penjana 1Malaysia 1 Ummah

05/02/2010 6:01pm

PUTRAJAYA 5 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, umat Islam perlu menghayati dan mengamalkan konsep Wasatiyah yang akan melahirkan 1 ummah yang progresif.
Katanya, Wasatiyah yang bermaksud sederhana, pertengahan dan seimbang akan melahirkan ummah yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah, tanpa mengabaikan kebajikan rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Najib berkata, dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia yang lebih memfokus hala tuju umat Islam di negara ini, satu konsep yang bersifat komprehensif dan bersepadu perlu dirintis selaras dengan tuntutan agama Islam bagi menangani pelbagai isu dan masalah semasa yang berlaku.
Konsep Wasatiyah atau kesederhanaan ini adalah baik dan sangat digalakkan oleh Islam kerana perbuatan yang lebih daripada yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau begitu juga perbuatan yang kurang daripada yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian.
"Maka umat Islam tidak boleh jumud dan ekstrim begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perjumpaan Bersama Ulama dan Umara dan pelancaran Gagasan 1Malaysia dan Logo 1 Ummah peringkat agensi-agensi agama seluruh Malaysia.

Tiada ulasan: