Khamis, 13 Februari 2014

TAHNIAH MB JOHOR. - 20,000 PENJAWAT AWAM NEGERI DAPAT MANAFAAT.

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan pelaksanaan Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah berkuat kuasa 1 Mac ini.

Sebelum ini, kadar faedah yang dikenakan adalah sebanyak empat peratus. Beliau berkata bagi peminjam yang masih mempunyai baki dan dipotong dari gaji bulanan, baki pinjaman terkini akan disediakan pada April hingga Mei depan.

Bayaran balik mengikut jadual baru skim ini akan dilaksanakan pada Mei atau Jun tahun ini, katanya ketika menyampaikan amanat sulung tahun ini kepada kira-kira 1,500 penjawat awam negeri di Kota Iskandar di sini.

"Kerajaan sentiasa inovatif dalam menangani masalah rakyat dan yang paling penting ialah semua ini disumbang melalui inovasi dasar yang dilakukan penjawat awam," katanya.

Menurut Khaled, antara dasar penting dalam pembentangan Bajet 2014 ialah usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Langkah seperti memperbanyakkan projek rumah mampu milik sememangnya sangat bertepatan. Ini bermakna, kerajaan tidak hanya membiarkan kuasa pasaran menentukan kos rumah," kata menteri besar itu.  

Selain itu, dengan memperbanyakkan kedai rakyat 1Malaysia di seluruh negara juga membolehkan rakyat mendapat barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah.

"Ini akan memberikan rakyat pilihan dan jika dilaksanakan secara berkesan, akan membantu mengurangkan beban rakyat secara relatif," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: