Rabu, 10 Ogos 2011

LAGI KAEDAH KAUM KAFIRUN MENCEMAR IMEJ ISLAM

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pembabitan syarikat judi atau arak dalam sebarang penganjuran majlis berpuasa bersama anak-anak yatim boleh mencemarkan imej Islam kerana jelas pendapatan syarikat-syarikat seumpama itu datangnya daripada sumber yang haram.

Sehubungan itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein berkata, adalah wajar mana-mana pertubuhan anak-anak yatim memastikan terlebih dahulu status pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu bukan daripada syarikat judi atau arak.

Pada masa sama beliau menggesa syarikat judi atau arak supaya lebih peka iaitu tidak terlibat dengan sebarang penganjuran majlis berbuka puasa walaupun tujuannya adalah baik.

"Puasa adalah ibadat dan berbuka puasa juga adalah ibadat. Adakah patut kita mencampurkan soal ibadat dengan benda-benda yang haram? Di dalam al-Quran jelas Allah telah memerintahkan kita menjauhi judi dan arak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta pandangan secara umum sekiranya terdapat syarikat judi atau arak yang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Muhammad Yusoff berkata, perkara yang dibangkitkan itu bukan berkaitan dengan soal tujuannya baik atau sebaliknya tetapi ia amat berkaitan dengan soal hukum melainkan sekiranya pertubuhan anak yatim itu benar-benar tidak tahu bahawa pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu adalah syarikat judi atau arak.

"Saya amat berharap semua pertubuhan dan rumah anak-anak yatim meneliti terlebih dahulu pihak yang menjemput mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku. Jika ada jemputan daripada mereka kita wajib tolak.

"Kita tahu syarikat-syarikat seperti ini mahu melakukan sesuatu yang baik tetapi masalahnya tidak boleh, tidak manis, tidak wajar dan tidak sesuai kerana sumber pendapatan mereka haram,'' katanya.

Beliau berkata, sekiranya syarikat-syarikat seperti itu tetap mahu memberi derma kepada anak-anak yatim, mereka boleh mencari anak-anak yatim yang seagama tetapi bukannya kanak-kanak Islam.

"Saya percaya banyak lagi syarikat dan korporat Islam yang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dalam bulan Ramadan ini,'' ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia. 

Tiada ulasan: