Rabu, 24 November 2010

CIKGU BARD SAHKAN PEMILIHAN PKR PALING KOTOR DAN JIJIK

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Tembelang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin terdedah dengan penyebaran surat bertajuk Laporan rasmi masalah pemilihan PKR oleh calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin melalui laman blog propembangkang bermula petang semalam.
Dalam laporan lima muka surat yang ditujukan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Badrul Hisham menyenaraikan 10 kepincangan yang didakwa telah mengganggu ketelusan pemilihan parti.
Antara perkara serius yang dibangkitkan adalah dakwaan berlakunya campur tangan langsung Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentukan calon yang perlu dipilih.
Dakwa Badrul Hisham, Ketua AMK Kota Marudu, Dr. Jurin Gunsalam membuat laporan kepadanya bahawa Ketua Cabang itu telah diarah Anwar supaya memberi sokongan kepada calon tertentu.
"Jurin melaporkan Ketua Cabang Kota Marudu telah dihubungi oleh Anwar sendiri dengan 'mengarahkan' sokongan kepada calon tertentu dan mengarahkannya menolak calon tertentu.
"Di cabang tersebut juga proses pengundian telah mengambil sukarelawan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) daripada ahli jawatankuasa (AJK) cabang yang jelas memihak dan 'mengarahkan' undi ketika proses berlangsung," katanya dalam surat bertarikh 18 November lalu.
Petang semalam, portal berita propembangkang, Malaysiakini menyiarkan kenyataan Badrul Hisham yang mengesahkan surat berkenaan ditulis olehnya.
Dalam surat tersebut, Badrul Hisham mendakwa wujudnya kegiatan menukar pencalonan yang dibuat oleh cabang dengan memberikan contoh Cabang Tampin yang mencalonkan beliau sebagai Ketua AMK dan Chang Lih Kang sebagai timbalan.
Bagaimanapun katanya, pangkalan data parti menunjukkan nama yang dicalonkan cabang itu ialah regu Shamsul Iskandar Md. Akin dan Khairul Anuar Ahmad Zainudin.
"Jika nama boleh ditukar bagaimana pula dengan nombor jumlah undi. Surat yang dihantar sebulan lebih tidak berjawab dan tindakan tidak diambil.
"Orang yang dikenal bersalah, bebas masuk dan keluar ibu pejabat dan menikmati bayaran gaji tanpa tekanan," dakwanya.
Selain itu, Badrul Hisham turut mendakwa berlaku kejadian kehadiran pengundi jauh lebih kecil daripada bilangan kertas undi seperti di Cabang Kubang Pasu yang melaporkan kehadiran sekitar 70 orang namun kertas undi yang telah dipangkah pula hampir 200.
Dakwanya, perkara itu diperakui oleh JPP yang memanggil wakil calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim untuk berbincang bagi mencari penyelesaian dengan kaedah membahagikan sama rata jumlah undi.
Justeru, Badrul Hisham mendesak penyiasatan terbuka diadakan segera bagi menangani kepincangan yang berlaku.
Tegasnya, beliau juga akan sentiasa berpegang teguh pada disiplin parti dengan menggunakan seluruh saluran dalaman tetapi nampaknya 'semakin di asak ke dinding'.
"Saya selaku anggota Parti Keadilan Rakyat mohon keadilan," katanya mengakhiri surat rasmi tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan: